Jawatankuasa Tertinggi

Ahmad Khairul Nizam Bin Bahrinal

Pengerusi

Ahmad Khairul Nizam bin Bahrinal, atau lebih mudah dikenali sebagai Nizam merupakan seorang ejen hartanah yang telah menceburi dalam bidang ini lebih 10 tahun. Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini telah mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Menengah Sains Seremban (kini SMS Tuanku Munawir), di Jalan Sikamat , Seremban. Setelah mendapat keputusan memberangsangkan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau telah melanjutkan pengajiannya ke Korea Selatan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di salah sebuah universiti terkemuka Korea Selatan dan dunia, Korea University, Seoul. Beliau telah menamatkan pengajiannya di Korea University dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Kerjaya Dalam Bidang Kejuruteraan

Setelah menamatkan pelajaran, beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang Jurutera di Lotte Engineering & Construction sehinggalah projek di Pasir Gudang, Johor tamat.

Kerjaya Dalam Bidang Hartanah

Tidak lama selepas itu, beliau telah mengambil langkah untuk keluar dari bidang asalnya dan telah memulakan kerjaya baru beliau sebagai seorang Perunding Hartanah (REN) di Azmi & Co (Estate Agency) KL Sdn Bhd (Kini dikenali sebagai ACEAKL Estate Agency Sdn Bhd) pada tahun 2014 sehingga akhir 2019.

Selepas itu, beliau telah berhijrah ke 2 syarikat lain, iaitu AJC Property Surveyors Sdn Bhd (2019 – 2021) dan juga AFZ Realty Sdn Bhd (2021 – 2023) dan akhirnya kini berkhidmat di HOMEFIELD REAL ESTATE SDN BHD.

Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang hartanah pada tahun 2016 di Institut Penilaian Negara (INSPEN) Putrajaya dan tamat belajar pada tahun 2017 dan kemudiannya telah mendaftarkan diri sebagai Ejen Hartanah Percubaan (Probationary Estate Agent – PEA). Maka bermulalah perjalanan Nizam sebagai PEA dari tahun 2018 sehinggalah 2022.

Pada April 2023, beliau telah berjaya dalam ujian TPC (Test for Professional Competency) dengan cemerlang dan kini diiktiraf sebagai Ejen Hartanah Berdaftar (Registered Estate Agent – REA) E 2972.

Kerjaya Sebagai Ejen Hartanah

Bergiat aktif dalam bidang pengurusan hartanah, Nizam berpengalaman menguruskan REN-REN di bawah seliaannya secara langsung. Beratus hartanah berjaya dijual beliau sepanjang tempoh menjadi seorang REN , PEA dan kini sebagai REA.

Nurul Izwan bin Haji Nadzar

Timbalan Pengerusi

Kapten Nurul Izwan bin Haji Nadzar berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau merupakan alumni Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) dan telah menamatkan pengajian menengah pada tahun 2004.

Minat yang mendalam terhadap dunia penerbangan mendorong beliau menyertai Program Kadet Juruterbang Malaysia Airlines pada tahun 2005. Beliau seterusnya menjalani latihan profesional di Halim Mazmin Aerospace (HMA), Langkawi, yang menjadi titik permulaan kepada kerjaya beliau sebagai juruterbang komersial. Sepanjang tempoh latihan, beliau mengendalikan pesawat Diamond DA40 dan Diamond DA42 sebelum meneruskan latihan jenis pesawat (type rating) bagi pesawat komersial.

Kerjaya profesional beliau bermula bersama Malaysia Airlines pada tahun 2007 sebagai First Officer pesawat Boeing 737-400. Beliau kemudiannya beralih mengendalikan pesawat Airbus A330, sekali gus memperoleh pengalaman luas dalam operasi penerbangan domestik, serantau dan antarabangsa.

Pada tahun 2017, beliau menyertai AirAsia Malaysia sebagai Senior First Officer yang mengendalikan pesawat keluarga Airbus A320/A321. Hasil prestasi yang konsisten, komitmen terhadap keselamatan penerbangan serta keupayaan memimpin dalam persekitaran operasi berprestasi tinggi, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Kapten pada tahun 2019. Sehingga kini, beliau telah merekodkan lebih 10,000 jam penerbangan, mencerminkan pengalaman yang luas, disiplin profesional serta dedikasi yang tinggi dalam industri penerbangan.

Sepanjang lebih 19 tahun dalam industri, beliau telah melalui pelbagai program latihan profesional, penilaian kompetensi, latihan kepimpinan serta latihan berkala yang merupakan standard industri penerbangan antarabangsa. Pengalaman ini telah membentuk beliau sebagai seorang profesional yang mengutamakan keselamatan, integriti, disiplin, ketepatan dalam membuat keputusan dan budaya pembelajaran serta penambahbaikan berterusan.

Selain kerjaya sebagai juruterbang, Kapten Nurul Izwan turut aktif menyumbang kepada pembangunan modal insan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman. Beliau kerap dijemput sebagai penceramah kerjaya di pelbagai sekolah rendah dan sekolah menengah untuk berkongsi laluan kerjaya dalam bidang penerbangan, di samping memberi inspirasi serta pendedahan kepada pelajar yang bercita-cita menceburi industri aeroangkasa.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan SAFA Malaysia, sebuah badan kebajikan yang dianggotai oleh juruterbang Batch Kedua SASER Flyers. Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, pelbagai inisiatif kebajikan dan program kemasyarakatan telah dilaksanakan bagi mengukuhkan semangat kebersamaan, memupuk hubungan silaturahim serta memperkasakan jaringan profesional dalam kalangan ahlinya.

Beliau turut aktif dalam komuniti alumni SASER dan kini berkhidmat sebagai Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Koperasi Saseroba Berhad (SASERCO). Pelantikan beliau sebagai ALK mencerminkan kepercayaan yang diberikan terhadap pengalaman, kepimpinan serta komitmen beliau dalam menyumbang kepada pembangunan dan pengukuhan komuniti alumni.

Berbekalkan pengalaman luas dalam industri penerbangan, kepimpinan organisasi serta penglibatan aktif dalam pembangunan komuniti, Kapten Nurul Izwan terus komited untuk menyumbang kepakaran, berkongsi ilmu dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang, selaras dengan prinsip profesionalisme, integriti dan pembelajaran sepanjang hayat.

Muhamad Azham Bin Ab Wahab

Setiausaha

Muhamad Azham Bin Ab Wahab merupakan seorang tokoh profesional yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dilahirkan pada tanggal 11 Mei 1989,mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah sebelum melanjutkan pendidikan menengah rendah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang(Smap Kajang). Berlandaskan keputusan baik Penilaian Menengah Rendah(PMR), beliau ditawarkan untuk pendidikan menengah atas di Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) dan tamat persekolahan pada tahun 2006.Di SASER,segalanya bermula.

Sebagai antara generasi awal lepasan SASER, beliau dikenali sebagai pemimpin pelajar yang berdisiplin dan berwibawa, mencerminkan nilai keperibadian tinggi dan daya usaha yang jitu sejak di sekolah.Selain kepimpinan,beliau aktif sebagai seorang pemain ragbi sekolah disamping mewakili SASER dalam pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2006.

Selepas menamatkan persekolahan,beliau menyambung pengajian di Universiti Malaysia Kuala Lumpur, Malaysian Institute Of Aviation (UNiKL MIAT) dalam bidang penyelenggaraan helikopter.Usai pengajian,beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera perintis penyelenggaraan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz,Subang selama hampir 3 tahun.

Tahun 2015 menjadi titik tolak beliau mengambil keputusan besar untuk terjun ke bidang takaful.Berbekalkan keinginan yang tinggi untuk berkhidmat buat masyarakat,beliau meneruskan perjalanan hidup dengan penuh tekad dalam bidang takaful dan pembangunan agensi. Beliau memulakan kerjaya di Prudential BSN Takaful Berhad (PBTB) bersama agensi Al Isra Group(AIG SDN BHD) dan mengumpul pengalaman.

Ketekunan dan fokus beliau membuahkan hasil apabila diiktiraf sebagai antara ejen terbaik menerusi pencapaian MDRT (Million Dollar Round Table), satu penghormatan tertinggi dalam dunia insurans dan takaful di peringkat antarabangsa 2021 dan berjaya membawa unit kelolaannya serta ditabal sebagai ‘Unit Manager 1’ pada tahun 2022.

Kini, beliau melebarkan empayar sebagai ‘Associate Manager’ dan ‘Branch Director’ di Al Isra Group Kota Damansara 2(Aisara), salah sebuah agensi unggul yang menjalankan sistem Agency Leader Corporation (ALC)di bawah FWD Takaful dan AIG SDN BHD.Beliau memimpin cawangan Kota Damansara 2 di bawah naungan AIG SDN BHD, dan memainkan peranan penting dalam membimbing ejen-ejen muda serta membina struktur agensi yang mampan. Dalam kapasiti ini, beliau bukan sahaja memfokuskan kepada jualan, malah aktif dalam melatih, merekrut, dan membentuk budaya kerja yang berprestasi tinggi dinauingi akhlak muslim yang baik.

Selain pencapaian kerjaya, Azham juga dikenali dalam kalangan rakan seperjuangan dan alumni SASER sebagai seorang yang rendah diri namun wibawa. Beliau sering dijadikan contoh sebagai alumni yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, malah tidak melupakan akar dan nilai kekitaan yang diasuh sejak zaman persekolahan. Komitmen beliau terhadap pembangunan insan dan peluang kerjaya untuk generasi muda menjadikan beliau figura yang dihormati dalam bidangnya.

Dengan gabungan latar belakang pendidikan yang kukuh, pengalaman profesional yang luas, dan komitmen terhadap pembangunan komuniti. Sebagai seorang suami dan ayah kepada 3 orang cahaya mata,beliau merupakan contoh terbaik bagaimana seorang alumni SASER boleh melakar kejayaan dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Muhammad Taufiq bin Rosdan

Naib Setiausaha

Muhammad Taufiq bin Rosdan merupakan seorang pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Sangat berbakat dan berpengalaman dalam bidang pengurusan acara sukan serta turut aktif dalam kepimpinan di UPNM

Merupakan bekas pelajar SASER batch ke 20 (SPM 2022), tetapi usia yang muda tidak menidakkan bakat dan keterampilan yang ada pada diri beliau.

Amir Bin Kamal Hamidon

Bendahari

Amir bin Kamal Hamidon merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) yang menamatkan persekolahannya pada tahun 2008. Beliau pernah dilantik sebagai Presiden kedua Persatuan Alumni SASER (SASEROBA) dan memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti alumni seperti program sukan, pembangunan diri, dan jaringan kerjaya.

Selepas menamatkan tempoh sebagai Presiden, beliau dilantik sebagai Penasihat Kehormat SASEROBA atas sumbangan berterusannya dalam membangunkan komuniti alumni.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi SASEROBA Berhad (SASERCO) pada 19 Julai 2025, beliau telah dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan kemudiannya dipilih sebagai Bendahari. Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan anggota terhadap kebolehan dan integriti beliau dalam pengurusan kewangan koperasi.

Kini, Amir terus aktif menyumbang melalui peranan strategik dalam alumni dan koperasi.

Eron Damaska bin Darwin

Naib Bendahari

Eron Damaska Bin Darwin, atau lebih mesra disapa sebagai Eron, merupakan seorang profesional dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) yang mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup unik. Anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini mendapat pendidikan awal di SMK Padang Tembak sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh berprestij, SM Sains Seremban (kini SM Sains Tuanku Munawir – SASER). Beliau seterusnya berjaya menggenggam ijazah dalam bidang Biologi, pengkhususan dalam Sains Kaji Haiwan (Zoologi) dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Langkah Pertama & Anjakan Paradigma

Sejurus menamatkan pengajian, beliau memulakan kerjaya dalam sektor akuakultur bersama sebuah syarikat bioteknologi terkemuka di Juru, Pulau Pinang. Selepas tiga tahun berkhidmat dan membina pengalaman profesional, Eron mengambil satu keputusan berani untuk membuat transisi kerjaya—meninggalkan bidang biologi demi mengejar minat dan kecenderungan mendalamnya terhadap dunia teknologi dan digital.

Evolusi Kerjaya Teknologi Maklumat (IT)

Mengorak langkah pertama sebagai Eksekutif IT di Retail Network Sdn Bhd, beliau pantas membuktikan keupayaannya dengan melengkapkan profil profesionalnya menerusi beberapa pengiktirafan penting dalam bidang Rangkaian (Networking) dan Keselamatan Siber (Cybersecurity).

Kecemerlangan beliau terus mendapat perhatian apabila beliau melangkah ke Sunway Malls sebagai Eksekutif IT, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menyokong kelancaran operasi dan infrastruktur teknologi bagi salah sebuah rangkaian pusat beli-belah terbesar di Malaysia.

Kini, kepakaran dan semangat inovasi Eron diteruskan di pentas antarabangsa. Beliau sedang berkhidmat sebagai Eksekutif IT di syarikat gergasi permainan video terkemuka dunia, Bandai Namco Studios Malaysia. Di sini, beliau terus menyumbang kepakaran teknikalnya dalam menyokong ekosistem kreatif dan pembangunan digital bertaraf dunia.

Juruaudit Dalaman

  • Jaiyogesh Ramesh Patel

  • Ahmad Amirul Ariff Bin Mohamad Noh