Anggota Lembaga
Jawatankuasa Tertinggi

Ahmad Khairul Nizam bin Bahrinal, atau lebih mudah dikenali sebagai Nizam merupakan seorang ejen hartanah yang telah menceburi dalam bidang ini lebih 10 tahun. Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini telah mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Menengah Sains Seremban (kini SMS Tuanku Munawir), di Jalan Sikamat , Seremban. Setelah mendapat keputusan memberangsangkan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau telah melanjutkan pengajiannya ke Korea Selatan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di salah sebuah universiti terkemuka Korea Selatan dan dunia, Korea University, Seoul. Beliau telah menamatkan pengajiannya di Korea University dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Kerjaya Dalam Bidang Kejuruteraan
Setelah menamatkan pelajaran, beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang Jurutera di Lotte Engineering & Construction sehinggalah projek di Pasir Gudang, Johor tamat.
Kerjaya Dalam Bidang Hartanah
Tidak lama selepas itu, beliau telah mengambil langkah untuk keluar dari bidang asalnya dan telah memulakan kerjaya baru beliau sebagai seorang Perunding Hartanah (REN) di Azmi & Co (Estate Agency) KL Sdn Bhd (Kini dikenali sebagai ACEAKL Estate Agency Sdn Bhd) pada tahun 2014 sehingga akhir 2019.
Selepas itu, beliau telah berhijrah ke 2 syarikat lain, iaitu AJC Property Surveyors Sdn Bhd (2019 – 2021) dan juga AFZ Realty Sdn Bhd (2021 – 2023) dan akhirnya kini berkhidmat di HOMEFIELD REAL ESTATE SDN BHD.
Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang hartanah pada tahun 2016 di Institut Penilaian Negara (INSPEN) Putrajaya dan tamat belajar pada tahun 2017 dan kemudiannya telah mendaftarkan diri sebagai Ejen Hartanah Percubaan (Probationary Estate Agent – PEA). Maka bermulalah perjalanan Nizam sebagai PEA dari tahun 2018 sehinggalah 2022.
Pada April 2023, beliau telah berjaya dalam ujian TPC (Test for Professional Competency) dengan cemerlang dan kini diiktiraf sebagai Ejen Hartanah Berdaftar (Registered Estate Agent – REA) E 2972.
Kerjaya Sebagai Ejen Hartanah
Bergiat aktif dalam bidang pengurusan hartanah, Nizam berpengalaman menguruskan REN-REN di bawah seliaannya secara langsung. Beratus hartanah berjaya dijual beliau sepanjang tempoh menjadi seorang REN , PEA dan kini sebagai REA.

Muhamad Azham Bin Ab Wahab merupakan seorang tokoh profesional yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dilahirkan pada tanggal 11 Mei 1989,mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah sebelum melanjutkan pendidikan menengah rendah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang(Smap Kajang). Berlandaskan keputusan baik Penilaian Menengah Rendah(PMR), beliau ditawarkan untuk pendidikan menengah atas di Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) dan tamat persekolahan pada tahun 2006.Di SASER,segalanya bermula.
Sebagai antara generasi awal lepasan SASER, beliau dikenali sebagai pemimpin pelajar yang berdisiplin dan berwibawa, mencerminkan nilai keperibadian tinggi dan daya usaha yang jitu sejak di sekolah.Selain kepimpinan,beliau aktif sebagai seorang pemain ragbi sekolah disamping mewakili SASER dalam pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2006.
Selepas menamatkan persekolahan,beliau menyambung pengajian di Universiti Malaysia Kuala Lumpur, Malaysian Institute Of Aviation (UNiKL MIAT) dalam bidang penyelenggaraan helikopter.Usai pengajian,beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera perintis penyelenggaraan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz,Subang selama hampir 3 tahun.
Tahun 2015 menjadi titik tolak beliau mengambil keputusan besar untuk terjun ke bidang takaful.Berbekalkan keinginan yang tinggi untuk berkhidmat buat masyarakat,beliau meneruskan perjalanan hidup dengan penuh tekad dalam bidang takaful dan pembangunan agensi. Beliau memulakan kerjaya di Prudential BSN Takaful Berhad (PBTB) bersama agensi Al Isra Group(AIG SDN BHD) dan mengumpul pengalaman.
Ketekunan dan fokus beliau membuahkan hasil apabila diiktiraf sebagai antara ejen terbaik menerusi pencapaian MDRT (Million Dollar Round Table), satu penghormatan tertinggi dalam dunia insurans dan takaful di peringkat antarabangsa 2021 dan berjaya membawa unit kelolaannya serta ditabal sebagai ‘Unit Manager 1’ pada tahun 2022.
Kini, beliau melebarkan empayar sebagai ‘Associate Manager’ dan ‘Branch Director’ di Al Isra Group Kota Damansara 2(Aisara), salah sebuah agensi unggul yang menjalankan sistem Agency Leader Corporation (ALC)di bawah FWD Takaful dan AIG SDN BHD.Beliau memimpin cawangan Kota Damansara 2 di bawah naungan AIG SDN BHD, dan memainkan peranan penting dalam membimbing ejen-ejen muda serta membina struktur agensi yang mampan. Dalam kapasiti ini, beliau bukan sahaja memfokuskan kepada jualan, malah aktif dalam melatih, merekrut, dan membentuk budaya kerja yang berprestasi tinggi dinauingi akhlak muslim yang baik.
Selain pencapaian kerjaya, Azham juga dikenali dalam kalangan rakan seperjuangan dan alumni SASER sebagai seorang yang rendah diri namun wibawa. Beliau sering dijadikan contoh sebagai alumni yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, malah tidak melupakan akar dan nilai kekitaan yang diasuh sejak zaman persekolahan. Komitmen beliau terhadap pembangunan insan dan peluang kerjaya untuk generasi muda menjadikan beliau figura yang dihormati dalam bidangnya.
Dengan gabungan latar belakang pendidikan yang kukuh, pengalaman profesional yang luas, dan komitmen terhadap pembangunan komuniti. Sebagai seorang suami dan ayah kepada 3 orang cahaya mata,beliau merupakan contoh terbaik bagaimana seorang alumni SASER boleh melakar kejayaan dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Muhammad Taufiq bin Rosdan merupakan seorang pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Sangat berbakat dan berpengalaman dalam bidang pengurusan acara sukan serta turut aktif dalam kepimpinan di UPNM
Merupakan bekas pelajar SASER batch ke 20 (SPM 2022), tetapi usia yang muda tidak menidakkan bakat dan keterampilan yang ada pada diri beliau.

Amir bin Kamal Hamidon merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) yang menamatkan persekolahannya pada tahun 2008. Beliau pernah dilantik sebagai Presiden kedua Persatuan Alumni SASER (SASEROBA) dan memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti alumni seperti program sukan, pembangunan diri, dan jaringan kerjaya.
Selepas menamatkan tempoh sebagai Presiden, beliau dilantik sebagai Penasihat Kehormat SASEROBA atas sumbangan berterusannya dalam membangunkan komuniti alumni.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi SASEROBA Berhad (SASERCO) pada 19 Julai 2025, beliau telah dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan kemudiannya dipilih sebagai Bendahari. Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan anggota terhadap kebolehan dan integriti beliau dalam pengurusan kewangan koperasi.
Kini, Amir terus aktif menyumbang melalui peranan strategik dalam alumni dan koperasi.

Muhammad Luqman Hakim bin Abd Salam atau biasa dipanggil Luqman merupakan salah seorang pemilik pusat sukan rangkaian World of Sports atau dulunya dikenali sebagai Republic of Futsal. Dilahirkan di Johor Bahru namun merantau ke Negeri Sembilan bagi mendapatkan pendidikan awal di SM Sains Seremban dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di UIAM dalam bidang Sains Kewangan Islam.
Kerjaya
Setelah tamat belajar, beliau memulakan perjalanan kerjayanya di Sapura Secured Technologies sebagai Eksekutif Kewangan dan “Treasury”.
4 tahun berkhidmat di dalam bidang kewangan, dengan berbekalkan semangat, minat dan pengalaman kerja, beliau telah menceburi bidang perniagaan dan membuka sebuah pusat sukan pada awalnya dan membuka lagi tambahan 2 pusat sukan di sekitar kawasan Petaling Jaya dan Subang Jaya.
Sekarang, beliau merupakan Pengarah Pembangunan Perniagaan di World of Sports dengan fokus untuk mendapatkan dana dan pembukaan pusat sukan baharu yang disasarkan untuk berada di seluruh Malaysia.
Pengurusan

Nurul Izwan bin Haji Nadzar berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) dan telah menamatkan pengajian menengahnya pada tahun 2004.
Minat beliau dalam bidang penerbangan telah membawanya menyambung pengajian di Halim Mazmin Aerospace (HMA), Langkawi, selepas menerima tawaran sebagai juruterbang kadet Malaysia Airlines (MAS) pada tahun 2005. Sepanjang latihan dan kerjayanya, beliau telah mengendalikan pelbagai jenis pesawat termasuk Diamond DA40, Diamond DA42, Boeing 737-400, Airbus A330 serta pesawat semasa iaitu Airbus A320 dan A321.
Kerjaya profesional beliau bermula bersama Malaysia Airlines dari tahun 2007 hingga 2017, sebelum menyertai syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, pada tahun 2017. Berkat dedikasi dan kemahiran yang tinggi, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Kapten pada tahun 2019 dan terus berkhidmat dalam kapasiti tersebut sehingga kini.
Di samping tugas profesional sebagai juruterbang komersial, Nurul Izwan juga aktif di media sosial, terutamanya melalui akaun Instagram beliau @fly_craze, di mana beliau kerap berkongsi pengalaman serta pandangan berkaitan dunia penerbangan.
Beliau turut terlibat secara aktif dalam komuniti alumni SASER sebagai ahli Koperasi Saseroba Berhad (SASERCO). Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) koperasi tersebut yang berlangsung pada 19 Julai 2025, beliau telah diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi (ALK), mencerminkan komitmen dan kepimpinan beliau dalam memperkasakan jaringan alumni sekolah.

Eron Damaska Bin Darwin atau lebih mesra dikenali sebagai Eron merupakan seorang graduan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam bidang Biologi atau lebih tepat lagi dalam bidang Sains Kaji Haiwan (Zoology). Anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini pada awalnya telah mendapat pendidikan terawalnya di SMK Padang Tembak, Kuala Lumpur dan telah melanjutkan ke peringkat SPM di SM Sains Seremban (kini dikenali sebagai SM Sains Tuanku Munawir) SASER.
Kerjaya
Sejurus sahaja beliau menamatkan pengajian di peringkat Ijazah, beliau telah menceburi bidang akuakultur di Juru, Pulau Pinang di sebuah syarikat bioteknologi yang berpengkalan di Petaling Jaya, Selangor. Namun setelah 3 tahun berkhidmat, beliau mengambil keputusan untuk keluar dari bidang asalnya ke bidang yang lebih dekat dihati beliau iaitu dalam bidang IT.
Kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat
Setelah mengambil keputusan yang berat untuk meninggalkan bidang biologi, beliau telah memulakan langkah dalam menempuhi kerjaya baharunya sebagai Eksekutif IT di Retail Network Sdn Bhd. Beliau kini telah berjaya mendapatkan beberapa pengiktirafan di dalam bidang Networking dan Cybersecurity. Kini beliau berkhidmat sebagai seorang IT Analyst di sebuah syarikat MNC.

Shahrin Zikri (@shahrinzikri) merupakan seorang profesional yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengurusan, dan pemasaran, dengan penglibatan aktif dalam membangunkan potensi pelajar serta mengembangkan strategi perniagaan pendidikan. Beliau kini berkhidmat sebagai Pengurus dan Pendidik di Ankaboot Academy, di samping memegang jawatan Naib Presiden di Pusat Tuisyen Aster yang beroperasi di Shah Alam.
Di SASERCO, Tuan Shahrin memegang peranan penting sebagai Pegawai Pemasaran, bertanggungjawab memacu usaha promosi, membina rangkaian strategik, serta memastikan jenama SASERCO terus dikenali dan dipercayai oleh masyarakat dan ahli koperasi.
Kepakaran beliau merangkumi pembangunan kurikulum, bimbingan akademik, pengurusan program pendidikan, serta strategi pemasaran yang berkesan. Dengan latar belakang yang kukuh dalam kedua-dua bidang pendidikan dan pengurusan, beliau mampu menggabungkan pendekatan akademik yang sistematik dengan strategi perniagaan yang inovatif.
Sebagai bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER), Kelas 2009, Tuan Shahrin meneruskan pengajian tinggi dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari UiTM Shah Alam serta Ijazah Sarjana dalam bidang Perniagaan.
Pengalaman dan kepakaran Tuan Shahrin dalam pendidikan, pengurusan, dan pemasaran amatlah dihargai. SASERCO menaruh keyakinan bahawa beliau akan terus menyumbang ke arah kemajuan koperasi melalui strategi pemasaran yang efektif, pembinaan jenama yang kukuh, dan inisiatif pembangunan komuniti yang berimpak tinggi.
Juruaudit Dalaman
-
Mohd Hakimi Bin Mohd Haris
-
Muhammad Uzair Bin Haji Ahmad Zainal